KUCHING, 20 Mei 2025 - YAB Premier Sarawak hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Pejabat Premier Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN), Petra Jaya.
Pertemuan tersebut membincangkan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan dan keusahawanan, khususnya penglibatan MARA dalam sektor tenaga konvensional dan baharu di Sarawak. Menurut Datuk Dr. Asyraf, kerjasama strategik ini menawarkan prospek yang amat memberangsangkan, memandangkan MARA memiliki kelebihan dari segi mandat pendidikan dan infrastruktur latihan yang dapat diselaraskan sepenuhnya dengan hala tuju pembangunan Negeri Sarawak, terutamanya sektor hidrogen yang semakin berkembang. Sebuah pelan induk sedang dirangka untuk memajukan IKM Bintulu sebagai pusat latihan serantau bertaraf antarabangsa dalam bidang tenaga, merangkumi minyak, gas dan teknologi hijau. MARA akan memastikan program pendidikan dan latihan kemahiran seperti IKM dan GiatMARA dapat melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri," jelasnya. Ini dijangka dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk belia tempatan, selain dapat memberikan impak langsung kepada generasi muda Sarawak melalui akses kepada program pendidikan dan latihan kemahiran MARA yang komprehensif.
Antara yang hadir dalam majlis tersebut termasuk Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki (Setiausaha Kerajaan Sarawak); Dato Zulfikri Osman (Ketua Pengarah MARA); Nor Azizati Hamzah (Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat Kementerian Kewangan); Tan Sri Muhammad Ibrahim (Mantan Gabenor Bank Negara); Prof. Tan Sri Dato Seri Dr. Noor Azlan Ghazali (Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia - MINDA); Dato Seri Hasan Malek (Mantan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah); Senator Datuk Rosni Sohar (Ahli Dewan Negara), serta Siti Ajar Yasin (Guru Cemerlang dan Ikon STEM Negeri Sarawak).